Sabtu, 4 Disember 2010

Coretan .....

Sabtu, 13 November 2010

Misteri Cinta untuk isteri



PETANG Jumaat lalu, Sohaimi Mior Hassan hadir penuh santai pada satu pertemuan di sebuah hotel di Shah Alam. Penampilannya cukup ringkas, hanya berbaju batik lengan panjang dan seluar slack hitam.Hilang sekejap imej ahli korporat pada diri Sohaimi sebagai Pengarah Urusan di Tele-Infra Teknologi Sdn. Bhd. (TTSB), sebuah syarikat yang mengkhusus dalam bidang pengauditan keselamatan menara telekomunikasi. Pertama kali kami bertemu, lelaki yang berusia 53 tahun itu cukup mesra. Pantas beliau bergurau agar tidak dilontar soalan berkisar gadis bernama Khaty yang dipujanya dalam lagu berhantu, Epilog Cinta Dari Bromley.

"Saya tidak mahu orang bosan. Ini pun sebelum keluar tadi, isteri saya sudah usik mesti nak bercerita lagi pasal si Khathy," selorohnya memulakan perbualan. Kata bapa kepada tiga anak perempuan itu, gara-gara populariti luar biasa lagu tersebut, habis tenggelam 32 lagu lain, kesemua ciptaan dan lirik Sohaimi sendiri yang dirakamkan menerusi tiga album terdahulu.Sedangkan kata anak kelahiran Beruas, Perak itu, lagu paling meninggalkan kesan mendalam ke atas dirinya adalah Misteri Cinta kerana ia dicipta bagi meluahkan rasa sayang buat isteri tercinta, Roslina Hashim, 53.

"Saya cipta lagu itu sudah lama ketika berada di tingkatan lima pada 1975. Balik dari United Kingdom selepas tamat pengajian di sana pada 1980, saya jumpa isteri. "Ketika itu saya sambung buat melodi Misteri Cinta bagi mencurahkan perasaan kasih dan sayang ketika saya dilamun cinta," ceritanya tersenyum mengenai lagu yang turut menjadi tajuk album ketiganya pada 1985.

Begitulah hebatnya Sohaimi. Hanya tiga album yang dirakamkan bermula 1981 hingga 1985 sebelum hilang dalam industri, populariti lelaki bersuara jantan itu tidak boleh lari dari lagu-lagu popularnya seperti Epilog Cinta Dari Bromley, Misteri Cinta dan Ros.

Padahal, kepakaran tinggi yang dimiliki Sohaimi dalam bidang kejuruteraan radar dan komunikasi bagaikan terlepas pandang walaupun kehebatan itu setanding dengan rangkaian lagu-lagu popularnya. Barangkali agak kontra apabila mengetahui kepakaran Sohaimi dalam bidang kejuruteraan tetapi mampu menghasilkan kesemua lirik lagunya yang cukup puitis bunyinya dan dekat di hati pendengar."Semua manusia dilahirkan ke dunia ini berjiwa seni. Saya buat lirik berdasarkan curah pandangan menerusi faktor persekitaran.

"Saya seorang yang mempunyai fahaman konservatif. Saya sebenarnya sukar bercerita secara berdepan sebaliknya menyampaikan melalui nyanyian adalah lebih mudah," katanya merendah diri apabila ditanya tentang perbezaan kerjaya dan aliran jiwanya itu. Sohaimi pantas memberi contoh lagu-lagu seperti Senandung Getah Asli, Senandung Sambal Tumis dan Senandung Padi Malinja. Jelas beliau, Senandung Getah Asli dihasilkan apabila melihat ragam orang kampungnya yang bekerja keras menoreh getah.

"Ilham lagu itu timbul bagi menceritakan komoditi getah sebagai sumber utama ekonomi ekonomi negara pada awal 1980 namun kebanyakan peneroka ketika itu hidup dalam kemiskinan," katanya menyambung bicara. Leka berbual tentang minatnya dalam bidang seni, Sohaimi menampilkan perasaan ter uja apabila diminta bercerita mengenai kerjayanya sebagai jurutera radar.

Memiliki Ijazah Kejuruteraan Radar dan Komunikasi dari Kolej Kejuruteraan HMS Collingwood Weapon di Fareham Hampshire, United Kingdom pada 1980, beliau turut mendapat Ijazah Sarjana Sistem Pengurusan Penyelenggaraan di Kolej Kejuruteraan Marin di Wilhelmshaven, Jerman lima tahun kemudian.Kata Sohaimi, beliau amat terhutang budi dengan peluang yang diberikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila menghantarnya melanjut pengajian di luar negara.

Ujarnya, tempoh perkhidmatan selama 19 tahun dalam TLDM sejak 1976 menghadirkan bukan sedikit pengalaman dalam hidupnya hingga memiliki kepakaran dalam audit keselamatan menara telekomunikasi pada hari ini."Semua pengalaman itu saya manfaatkan hingga mampu pergi ke Somalia bagi mereka bentuk, merangka dan menubuh satu rangkaian Wireless Local Loop (WLL) untuk penggunaan telefon mudah alih di sana.

"Saya juga mendapat kontrak memasang 12 Stesen Satelit Bumi di seluruh Afrika bagi melengkapkan African One Satellite Network selain pernah menjadi jurutera radar secara bebas di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. "Manakala di Vietnam dan Filipina, saya menjalankan operasi gerbang komunikasi suara menerusi IP (VoIP) di kedua negara berkenaan," katanya yang pernah bekerja di syarikat-syarikat besar dengan pelbagai jawatan tinggi seperti PLUS Expressways Bhd. (PLUS), Celcom Bhd., Ericsson, KUB Fujitsu dan Rantau Asia Pasifik Sdn. Bhd.

Menerusi TTSB pula, Sohaimi telah melaksanakan audit keselamatan ke atas 1680 menara dan struktur telekomunikasi di Perak, Kedah dan Melaka. Ketika ini katanya, syarikat itu sedang melaksanakan kerja-kerja yang sama di seluruh negeri Johor. Namun riak wajah Sohaimi berubah tiba-tiba apabila ditanya tentang peristiwa pahit yang dilaluinya dalam hidup sehingga kini. Nada suara sedikit kedengaran sedih apabila pernah ditipu rakan kongsi hingga syarikatnya hilang sekelip mata pada 2003.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan akibat terlalu mempercayai cakap orang. Kejadian kereta saya ditarik di hadapan orang ramai di tengah bandar amat menyedihkan selain saya terpaksa mengemis mencari kerja baru dan makan gaji dengan orang lain," katanya yang menyifatkan pengalaman mengerjakan haji pada 1991 sebagai kenangan paling manis dalam hidup.Menghampiri penghujung perbualan petang itu, Sohaimi sempat memberitahu tentang album terbarunya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Selepas tampil dengan album keempat, Suatu Hari Nanti pada 2007, perasaan cintanya kepada dunia seni suara tidak pernah padam apatah lagi album itu terjual melebihi 16,000 unit. Melangkah keluar dari lobi hotel, Sohaimi mempelawa mendengar salah satu lagu barunya bertajuk Kalau Berpacaran menerusi perakam cakera padat di dalam keretanya."Buat pertama kali dalam hidup, saya menghasilkan lagu rancak yang mempunyai elemen pop yeh yeh dan boria.

"Mesti ramai peminat yang terkejut apabila pertama kali mendengar lagu ini yang turut memiliki bahagian rapping," katanya ketawa ketika kami sama-sama melayan lagu itu.Sebelum beredar, Sohaimi menghulurkan album Suatu Hari Nanti kepada saya. Sebaik dipasangkan album itu, saya larut dibuai perasan mendengar vokal Sohaimi hingga tidak sedar terpaksa menempuh kesesakan jalan raya dari Shah Alam menuju ke Chan Sow Lin. Benarlah, suara parau lelaki bernama Sohaimi Mior Hassan ini bagaikan beralun menusuk ke urat nadi sebelum meresap ke dalam jiwa.