Artikel 2

Realiti “Suatu Hari Nanti”

 

DALAM prakata album Suatu Hari Nanti, Sohaimi Mior Hassan menulis, “Harapan aku semoga penggemar irama dan lagu Melayu akan terikut-ikut dengan segala kebaikan di dalam lagu-lagu ini dan akan menyatakannya di dalam realiti kehidupan.”Ada semacam ironisnya di sini, ketika dunia hiburan membawa khalayak melayang tidak berpijak realiti, Sohaimi mahu membawa mereka kepada realiti.

Sebenarnya lagu-lagu dalam album ini bukanlah terlalu berat untuk difahami. Ini kerana Sohaimi bercakap tentang jalur-jalur biasa dalam kehidupan. Tetapi ia menjadi berat dan dianggap terkeluar dari arus perdana apabila generasi hari ini dibentuk oleh budaya popular yang kosong dan mentah.Menerusi karya-karya lagu dan lirik tulisannya, Sohaimi adalah seorang yang tidak banyak berkias kata. Beliau melontarkan lirik dari relung jiwa yang sama dengan orang yang menerimanya. Kerana itu biarpun hanya tiga album saja bermula 1982, Sohaimi terus melekat dalam nyanyian hidup sebahagian besar generasi muda zamannya.

Karya lagu Sohaimi akrab dengan sosial dan kehidupan yang realiti. Kasih sayang, rumahtangga dan kerinduan kepada kedua-dua orang tua menjadi isi kandungan yang diukir dengan sedikit puitis. Album Suatu Hari Nanti ibarat kompilasi perutusan daripada seorang budak Melayu yang telah singgah di pelbagai pangkalan di dunia, bertemu manusia di luar lingkungan budaya dan membuka mata dan pemikiran kepada kehidupan luas. Tetapi yang bahagianya Sohaimi tidak lekang kepada akar budaya dan susila bangsanya.

Cinta antara benua dengan Khaty dalam lagu Epilog Cinta Dari Bromley menjaja nama Sohaimi sebagai penyanyi baru yang sangat berpotensi pada awal 80-an. Beliau muncul tanpa sebarang gegak gempita, bersama lagu dan lirik yang dituang sendiri dengan aliran jiwanya, Sohaimi merampas ingatan sebahagian besar anak-anak muda. Epilog Cinta Dari Bromley menjadi sangat romantis kerana Sohaimi berdiri di atas garis realiti.

Bukan saja Epilog Cinta Dari Bromley, malah lagu Apabila Isteri ku Ketawa juga dengan mudah dikongsi oleh sesiapa saja. Kata Sohaimi dalam lagu ini, apabila isteri ketawa, duka dan lara sirna dari jiwa dan diganti bahagia.

Sebenarnya Suatu Hari Nanti melampaui sebuah album yang memuatkan lagu-lagu untuk didengar kemudian dibiarkan berlalu begitu saja. Liriknya tidak berbasa basi dengan kata-kata bombastik, mentah dan kenyal. Sohaimi bercakap tentang rumah tangga, demokrasi dan kerinduan zaman kanak-kanak bersama ibu ayahnya dan kita pasti turut merasai kesyahduan pengalaman itu. Maka jangan rasa ganjil kalau ada yang terus terpesona kepada suara dan goresan jiwa lelaki setengah abad ini. Itu adalah realiti kita suatu hari nanti.