Artikel 8

Shahzan Tele-Flow labur RM100j di Kedah

Oleh:LUQMAN HAKIM

LANGKAWI 27 Mac - Syarikat telekomunikasi, Shahzan Tele-Flow Sdn. Bhd. akan melabur RM100 juta dalam tempoh lima tahun untuk membangunkan kemudahan prasarana telekomunikasi jalur lebar di seluruh Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sohaimi Mior Hassan berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 100 menara telekomunikasi akan dibina untuk memantapkan lagi perkembangan teknologi maklumat di negeri ini. Beliau berkata, syarikat itu diberi hak eksklusif oleh kerajaan negeri untuk menyelenggara dan menyewa semua menara telekomunikasi di Kedah.

Katanya, pembinaan terlalu banyak menara komunikasi di bawah pelbagai syarikat menyebabkan perkembangan dan pemantauannya tidak terkawal sehingga boleh menimbulkan kesan negatif kepada orang ramai.``Kerajaan Kedah telah memberi hak eksklusif penyenggaraan, penyewaan dan pemasangan prasarana telekomunikasi bersepadu kepada Shahzan Tele-Flow dan anak syarikat kerajaan negeri, Yiked Holdings.

``Ini merupakan hubungan bistari antara kami dengan Yiked Holdings dan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan telekomunikasi terbaik,'' kata Sohaimi ketika ditemui pada majlis memeterai kontrak persefahaman hak eksklusif penyenggaraan, pemasangan dan penyewaan prasarana telekomunikasi bersepadu di sini, hari ini.

Menurut Sohaimi, Shahzan Tele-Flow dan Yiked Holdings akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang beroperasi di Kedah bagi menjelaskan mengenai hak eksklusif itu. Beliau berkata, pada masa sekarang terdapat 150 menara telekomunikasi di negeri ini dan 80 daripadanya dimiliki oleh Telekom Malaysia. Katanya, teknologi tanpa wayar dan telefon mudah alih yang digunakan secara meluas pada masa sekarang memerlukan pembinaan menara telekomunikasi yang banyak, justeru itu memerlukan penyenggaraan yang cekap.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0328&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_08.htm&arc=hive

ARKIB : 28/03/2002