Artikel 6

Sohaimi Mior Hassan cuba kawal penampilan




SEBUAH lagu cinta merdu tentang luahan kasih seorang lelaki Melayu terhadap gadis pujaan berbangsa Inggeris bernama Kathy yang berjudul Epilog Cinta Dari Bromley adalah milik penyanyi bersuara emas, Sohaimi Mior Hassan. Epilog Cinta Dari Bromley itu cukup popular pada awal tahun 80-an dan Sohaimi pada masa itu adalah antara pendatang baru yang cukup berbakat. Lagu cinta itu dipetik daripada album pertama Sohaimi, Prolog yang secara tiba-tiba meletup dan terus meletakkan nama artis itu sebaris dengan penyanyi popular yang lain. Sohaimi juga antara pendatang seni suara yang berani untuk mengetengahkan lagu-lagu puisi. Suatu yang istimewa bagi Sohaimi ketika itu ialah penampilannya lebih terkenal melalui alunan suara dan lagu-lagu merdu saja, bukan gosip liar atau kisah peribadinya.

Penyanyi yang kini berusia 44 tahun itu juga mengakui dia lebih selesa berada jauh daripada dunia glamor artis kerana yang penting ialah bakat dan kemampuan dalam bidang seni. Sohaimi percaya itu adalah cara terbaik untuk terus bertahan dalam bidang nyanyian. ``Saya cuba mengawal penampilan saya supaya tidak mendedahkan diri dengan keterlaluan.``Saya beruntung kerana berjaya dan saya gembira kerana sehingga kini masih mampu bertahan. Lagu-lagu saya masih diterbitkan dan sedikit sebanyak dapat juga royalti,'' katanya.

Sohaimi pernah berkhidmat dengan tentera laut sebelum melanjutkan pelajaran ke England dalam bidang kejuruteraan. Dia kemudian pulang ke Malaysia untuk merakamkan album dan inspirasi untuk album itu adalah Epilog Dari Bromley.Sohaimi menafikan kisah cinta itu adalah kisah benar dalam kehidupannya, namun mengakui gadis yang bernama Kathy itu adalah kenalannya ketika menuntut di sana.``Kathy memang wujud tetapi kisah cinta itu bukan antara saya dengan Kathy tetapi antara Kathy dengan orang lain. Ia cuma satu pengalaman yang dipinjam,'' akuinya. Tetapi Sohaimi mengakui lagu Ros adalah tentang wanita pujaannya iaitu isterinya kini yang bernama Ros. Sohaimi berkahwin pada 1984 dan kini dikurniakan tiga cahaya mata berusia 16 hingga 12 tahun.

Sepanjang beberapa tahun berkecimpung dalam dunia seni, Sohaimi menghasilkan tiga buah album iaitu Prolog (1981), Dedikasi (1983) dan Misteri Cinta (1984). Namun sebelum peminat puas dengan hasil karyanya, Sohaimi mengambil keputusan mengundurkan diri daripada dunia seni. Sohaimi mengakui, pada masa itu dia mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilaksanakan.``Selepas tiga album itu saya harus membuat keputusan untuk menjadi penyanyi sepenuh masa atau jurutera. Saya memilih untuk menjadi jurutera kerana saya tidak nampak masa depan saya dalam bidang nyanyian. Lagipun, pasaran pada masa itu kecil,'' ceritanya. 

Sohaimi kini membabitkan diri dalam dunia perniagaan berteraskan telekomunikasi. Syarikat tersebut beroperasi di Filipina dan Vietnam.Sohaimi baru-baru ini kembali untuk mempromosikan album kompilasi terbarunya, Shake & Sohaimi. Album tersebut memuatkan lagu-lagu popular Sohaimi, termasuk Epilog Cinta Dari Bromley, Misteri Cinta, Ros, Kau Kepunyaanku dan Suatu Musim Bunga. Penyanyi tersebut mengakui dia mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan EMI bagi menghasilkan album terbarunya kelak.``Industri kini berhadapan dengan banyak masalah sekarang dan saya tidak mahu nanti apabila buat album tidak ada orang ingin membeli. Kami menantikan masa yang sesuai,'' akuinya.Tambah Sohaimi, dia sentiasa mengikuti perkembangan muzik tanah air.``Industri muzik sekarang menghasilkan banyak penyanyi tetapi kualitinya kurang dan mereka kurang keaslian.''``Untuk menjadi asli mereka harus menghasilkan lagu sendiri, kalau berterusan menyanyikan lagu orang tentu sukar bagi mereka memiliki identiti sendiri. ``Pencipta lagu seperti M. Nasir dan Pak Ngah adalah yang terbaik,'' akuinya.