Artikel 5

 

Cinta Sohaimi Mior Hassan keresahan


SOHAIMI Mior Hassan antara penyanyi tempatan yang banyak berbicara tentang jati diri dan perjuangan bangsa menerusi lagu-lagu yang dicipta dan dinyanyikannya. Sejak menjadi penyanyi pada awal tahun 1980-an, beliau tidak pernah lekang daripada meluahkan kerisauan tentang nasib dan masa depan anak bangsa menerusi karya-karyanya.

Terbaru Sohaimi tampil berkongsi lagi tentang perasaan serta buah fikirannya menerusi album single berjudul Cinta yang mengandungi empat buah lagu ciptaan dan terbitannya sendiri. Album single itu antara lain menampilkan lagu Negeri Antah Berantah yang menggambarkan tentang kebimbangannya terhadap kerapuhan hubungan antara pemimpin dan rakyat.Menurut Sohaimi, beliau tidak bermaksud mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya apa yang diketengahkan itu adalah suatu rintihan yang sedang dialami oleh masyarakat hari ini.

“Secara asasnya, apa yang saya timbulkan menerusi lagu itu berdasarkan luahan hati dan kritikan masyarakat yang saya dengar di kedai-kedai kopi dan di merata-rata tempat.“Kawan-kawan saya dan anggota masyarakat kini memperkatakan tentang perkara yang sama iaitu soal perpaduan Melayu dan keretakan hubungan antara rakyat serta pemimpin di negara ini.“Saya harap rintihan daripada mesej lagu itu dapat dijadikan sebagai suatu pengajaran untuk dihayati oleh semua pihak,” katanya pada pertemuan eksklusif di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Perak ini, beliau berharap album single dengan cetakan awal 1,000 unit itu dapat memberi manfaat kepada para peminat yang menantikan lagu-lagu terbarunya. Cinta yang diterbit serta diedarkan dalam edisi terhad dan dijual dengan harga RM10 itu difahamkan turut mencuri tumpuan banyak pihak.Perkara itu tidak menghairankan kerana beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri Perak pernah membeli albumnya yang berjudul Suatu Hari Nanti sebanyak 10,000 unit untuk dijadikan cenderahati kepada para tetamu dalam majlis-majlis yang mereka anjurkan.

“Saya berasa bangga kerana lagu-lagu dalam album saya itu menjadi perhatian pihak kerajaan. Saya anggap itu sebagai suatu pengiktirafan terhadap lagu-lagu ciptaan saya,” ujarnya yang berduet dengan vokalis kumpulan rock MAY, Mus menerusi lagu Seru yang dimuatkan dalam album single tersebut. Selain mengutarakan lagu-lagu yang bersandarkan kepada perjuangan bangsanya, bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia ini turut menyelitkan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.

Lagu Seru misalnya, menitipkan lirik lagu yang banyak disaluti unsur-unsur zikir yang mampu mengingatkan insan terhadap keagungan dan kekuasaan Allah, Tuhan alam semesta.“Saya cuba menyuntik elemen sufi dan tasauf menerusi lagu itu tetapi dalam bentuk penyampaian yang sederhana,” katanya yang memilih lukisan pelukis Iran abad ke-14 sebagai kulit album singlenya itu.
Tambah Sohaimi buat masa ini album singlenya itu belum mempunyai pengedarnya tetapi para peminat boleh mendengarnya dengan melayari di http://sohaimimiorhassan.blogspot.com