Artikel 3

Gandingan Lama dan Baru
TIDAK dinafikan gandingan Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Altimate cukup serasi. Kalau tidak masakan lagu mereka, Kalau Berpacaran cukup diminati dan sering kali diputarkan di corong-corong radio.Malah ramai yang masih lagi terkenangkan bait-bait lirik lagu tersebut yang cukup menangkap biarpun pertama kali mendengar.

Inilah yang dinamakan rezeki. Kemunculan semula penyanyi yang cukup dihormati, Sohaimi ke dalam industri sedikit sebanyak memberikan variasi kepada para pendengar dengan buah tangan terbarunya itu.Terpancar wajah kegembiraan di wajah ketiga-tiga penyanyi Kalau Berpacaran tatkala berjumpa mereka baru-baru ini. Masing-masing cukup gembira apabila lagu itu semakin mendapat tempat di hati peminat seni tempatan. Bagi penyanyi yang cukup popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley itu kemunculan semula dirinya dalam lapangan seni kali ini cukup menggembirakan.

Biarpun sibuk dihambat tugas sebagai seorang jurutera, Sohaimi cukup bertuah apabila dapat bergandingan dengan dua anak muda yang cukup kaya dengan idea segar."Secara peribadinya saya memang kagum dengan bakat yang dimiliki oleh Altimate dan Ana Rafali. Inilah kelebihan mereka dan sudah pasti saya kagum apabila dapat bekerjasama dengannya.

"Kalau saudara tengok balik lagu Kalau Berpacaran ini, penuh dengan unsur nasihat. Mungkin karya-karya begini cukup sesuai dengan orang seusia saya."Kalau nak buat lagu cinta macam dulu-dulu, rasanya mungkin tidak lagi. Saya pun dah tak ada idea nak buat lagu cinta dan biarlah orang baru sahaja yang melakukannya," katanya berseloroh.

Menafikan ini ada percubaan Sohaimi untuk kembali mewarnai dunia seni tempatan, dia hanya menganggap ini sekadar kunjungan mesra ke dalam arena seni tempatan.Katanya dia lebih suka keluar sekali sekala seperti yang berlaku hari ini memandangkan fokus dan keutamaannya bukan lagi pada bidang muzik.Kalau ada yang masih ingat, pada tahun 2007, Sohaimi pernah menghasilkan album Suatu Hari Nanti yang cukup besar pengaruhnya pada industri tempatan.

Tapi terpancar sedikit riak wajah kesal pada wajahnya apabila lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut langsung tidak diputarkan oleh segelintir stesen radio tempatan yang berpengaruh."Melalui lagu baru saya ini, rasanya cukup indah apabila hampir semua stesen radio dah mula memainkannya. Mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk orang-orang baru mengenali saya dengan lebih dekat.

"Sebagai penyanyi , bila tiba sesuatu peringkat umur sudah pasti mahu menyampaikan nasihat dan mesej kebaikan untuk semua. Konsep hidup saya sekarang mudah, kalau tak mampu untuk memberikan kebaikan baik diam," katanya yang bercita-cita mengadakan persembahan di Istana Budaya satu hari nanti.

Pilihan kata-kata

BAGI rapper yang sedang meningkat naik ini pula, kerjasama bersama dengan penyanyi yang cukup hebat itu merupakan satu penghormatan buat dirinya. Kata Altimate yang menjadi tukang kata dalam lagu ini, pemilihan bait-bait lirik merupakan perkara yang paling penting dalam menentukan hala tuju sesebuah lagu."Sudah pasti pemilihan kata-kata yang akan digunakan dalam sesebuah lagu itu amat penting. Ia bukan sekadar sebagai pelengkap sesebuah lagu tetapi untuk memastikan mesej yang mahu disampaikan kepada khalayak sampai.

"Tambahan pula saya melihat lagu ini cukup senang diputarkan di stesen-stesen radio, ini merupakan kepuasan buat saya dalam berkarya," kata Altimate yang cukup berpengalaman luas dalam bidang rap.Bercerita mengenai perkembangan terbaru pula, dia yang kini cukup popular dengan lagu Syukur sedang berusaha keras untuk menyiapkan album solonya yang sudahpun siap 60 peratus. Baginya lagu-lagu rap di Malaysia masih mempunyai khalayak tersendiri dan perlu mengambil sedikit masa untuk diterima oleh masyarakat tempatan.

"Kalau melihatkan perkembangan rap di seluruh dunia pun, ia masih terlalu baru sebenarnya. Kalau di Malaysia kebanyakan lagu-lagu tempatan akan dimasukkan unsur rap dan ia akan diterima. Kalau tak percaya boleh lihat mana-mana carta muzik kesahihannya. "Kalau dulu orang kita cukup suka mendengar melodi sesebuah lagu, tapi kini situasinya sudah berbeza. Pemilihan kata-kata juga penting kerana masyarakat hari sudah melihat bait kata-kata berbanding dengan melodi," katanya lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Rafali pula, dia cukup gembira apabila dua single terbarunya kini sedang mendapat perhatian seisi masyarakat di kala ini. Malah jadualnya padat dengan undangan sesi fotografi dan aktiviti promosi bagi menaikkan namanya dalam industri. Cukup puitis dalam penulisan lirik, terbit rasa bangga dalam diri gadis berusia 24 tahun ini apabila peluang untuk berduet bersama Sohaimi terhidang di depan mata."Inilah yang menjadi kebanggaan saya apabila dapat bekerjasama dengan orang yang saya minati sejak dahulu lagi. Tambahan pula hasilnya cukup membanggakan, ia benar-benar memberikan kepuasan kepada saya.

"Bila kita bekerja dengan ikhlas dengan matlamat yang sama, sudah pasti ia menjadi sesuatu yang menarik dan bernilai. Saya rasa tak mustahil untuk kami meneruskan usaha sama sebegini pada masa hadapan."Tapi biarlah dalam bahan yang baru dan segar supaya ia akan memberikan impak yang baik pada industri kita," katanya.